Kelab Usahawan Sosial Balik Pulau

Tentang Balik Pulau


Beberapa penggerak KUSBP ada mengelola sebuah blog yang merakamkan coretan tentang Balik Pulau di http://blog.balikpulau.org (sejak April 2007) dan sedikit tentang KUSBP sendiri dan ahli-ahlinya  di http://usahawan.balikpulau.org (sejak Ogos 2008)


Geografi & Pentadbiran


Balik Pulau terletak dalam Daerah Barat Daya, satu daripada lima buah daerah pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Secara congak, Balik Pulau mencakupi kawasan seluas hampir 200 km persegi, yakni hampir separuh Pulau Pinang (tidak termasuk Seberang Perai) ataupun sekitar 20% negeri Pulau Pinang. Begitupun, penduduknya hanya berjumlah sekitar 50,000 orang, yakni cuma 3% penduduk negeri Pulau Pinang yang berjumlah sekitar 1.6 juta orang.  Justeru, Balik Pulau secara amnya masih dalam kategori 'desa' dengan kebanyakan bahagiannya masih dipenuhi dengan hutan-hutan simpan, kawasan pertanian dan kampung-kampung tradisi.

Balik Pulau juga adalah salah satu daripada tiga belas kawasan Parlimen dalam negeri Pulau Pinang mencakupi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas (tidak termasuk kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas). 

Hasil Pilihanraya 2008, berikut adalah wakil-wakil rakyat Balik Pulau:-

Ahli Parlimen Balik Pulau (P53):
Tuan Yusmadi bin Yusoff (PKR)

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayan Lepas (N38)
Tuan Syed Amerruddin bin Dato' Syed Ahmad (BN)

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pulau Betong (N39)
Tuan Hj Sr. Muhammad Farid bin Hj Saad (BN)

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Teluk Bahang (N40)
Dato' Seri Hj Hilmi bin Hj Yahaya


Pembangunan di Balik Pulau

Balik Pulau di tahun 2010 bagaimanapun, sesuai dengannya sebagai pusat pentadbiran Daerah Barat Daya, sedang mengalami pembangunan yang agak pesat dengan kompleks-kompleks awam baru yang telah siap atau hampir siap dibina di sepanjang Jalan Balik Pulau dari Kongsi hingga ke Simpang Empat-Genting - sebuah Masjid Daerah, sebuah Ibu Pejabat Polis, sebuah Perpustakaan, sebuah Mahkamah dan sebuah Mahkamah Syariah.  Malah Balik Pulau juga telahpun dicakupi dengan liputan jalur lebar berwayar melalui TM dan tanpa wayar melalui Celcom dan Maxis, dan wajarnya khidmat Unifi TM dalam jangka masa terdekat. 

Taman-taman perumahan & beberapa sekolah baru juga tumbuh macam cendawan di Kongsi, Sungai Rusa, Sungai Burung dan Simpang Empat.  Di Botanica.CT misalnya, sedang dibangunkan sebuah kawasan perumahan dan komersil seluas 300 ekar, dan terbaru, kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengumumkan rancangan untuk membangunkan kawasan seluas 200 ekar sebagai zon 'pendidikan cemerlang.'

Penduduk & Ekonomi Balik Pulau

Aktiviti-aktiviti utama ekonomi Balik Pulau ialah pertanian & perikanan, pendidikan, pelancongan dan perusahaan-perusahaan lain kecil & sederhana.

Sawah-sawah padi, ladang-ladang tanaman dan kebun-kebun buah masih mewarnai pemandangan sekitar Balik Pulau.  Di sepanjang Jalan Balik Pulau, Jalan Bharu dan Jalan Sungai Rusa pula, kedapatan warung-warung makan, gerai-gerai buah, kedai-kedai perkhidmatan dan pasar-pasar mini. Sektor pembuatan pula tertumpu kepada produk-produk makanan seperti keropok, sos, air minuman dan buah pala serta tak lupa juga kraftangan yang diusahakan oleh entiti-entiti seperti Koperasi Usahawan Kampung Balik Pulau (KUKAM) di Kampung Perlis, Pulau Betong dan Craft Batik di Teluk Bahang.

Lebih separuh penduduk Balik Pulau pula berulang-alik melalui Jalan Tun Sardon dan Jalan Genting untuk bekerja atau berniaga di bandar-bandar berdekatan seperti George Town dan Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.

Ekonomi Baru & Masa Depan Balik Pulau

Seawal tahun 2005, Kampung Perlis yang berdekatan dengan perkampungan nelayan di kawasan Pulau Betong dipilih sebagai salah satu lokasi program Homestay kelolaan Koperasi Pelancongan Pulau Pinang Bhd (KOPEL). Di puncak Bukit Relau pula, sebuah pusat pemandangan panorama Balik Pulau bernama Anjung Indah telah dinaik taraf pada tahun 2007, melengkapkannya dengan fasiliti awam seperti surau & tandas, serta gerai-gerai makanan dan buah-buahan tempatan. Tumpuan pelancongan yang lain termasuklah sebuah Taman Negara seluas 1,266 hektar dan Taman Rimba seluas 32 hektar di Teluk Bahang, Pantai Pasir Panjang di Pulau Betong (yang juga menghoskan Pusat Latihan Khidmat Negara White Resort) dan beberapa resort swasta di lerengan bukit-bukit dari Teluk Bahang hingga ke Bukit Genting.

Lewat tahun 2008, sebuah kompleks pasar awam moden (yang terbesar di Pulau Pinang) telah dibuka  menyediakan lebih 150 gerai jualan basah & kering, fasiliti dewan & surau serta sebuah pusat khidmat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) & pusat khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya, dan disebelahnya, sebuah hab bas awam Rapid Penang yang menghubungkan Balik Pulau dengan bandar-bandar sekitarnya seperti Paya Terubong, Air Itam, George Town, Relau, Sungai Ara, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas dalam lingkungan 20-40 minit perjalanan - Di perkarangan ini jugalah di adakan sebuah Pasar Tani FAMA setiap pagi hari Minggu, dan sebuah Pasar Malam setiap hari Jumaat, yakni di kawasan-kawasan letak kereta yang luas.

Lanjutan daripada penubuhan pusat-pusat pendidikan khusus di Balik Pulau sejak era 80-an lagi, yang kini termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Pusat Giat MARA, Kolej Kemahiran Tinggi Balik Pulau, Island College of Technology dan Sekolah Teknik Balik Pulau, Balik Pulau akan menyaksikan lebih banyak institusi-institusi pendidikan khusus seperti Sekolah Agama al-Mashoor, Politeknik Balik Pulau, Prince of Wales International School dan khabarnya beberapa buah universiti yang akan mula bertapak di Balik Pulau dalam tempoh terdekat.



Bagaimana agaknya Balik Pulau di tahun 2020, sepuluh tahun dari sekarang?

Imej kepala laman adalah dari sepanduk yang dihasilkan oleh Arts Education Program for Young People. Maklumat lanjut tentang projek yang bersekretariat di Institut Kajian Sosio-Ekonomi (SERI), George Town, Pulau Pinang boleh didapati di http://www.arts-ed-penang.org

Make a Free Website with Yola.